UMNO Pekan tak bermaya tanpa Najib, Fakhruddin nekad suntik ‘tonik’ ekstra

KUALA LUMPUR 4 Mac – Calon kedua Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff enggan menoleh kebelakang lagi dan komited memberi nafas baru dalam membangkitkan keyakinan ahli parti itu terhadap UMNO.
Menurut Mohammad Fakhruddin, sejak ketiadaan Datuk Seri Najib Razak dalam kepimpinan UMNO Pekan, pihaknya berdepan pelbagai cabaran khususnya dalam mengembalikan kepercayaan ahli parti.
“Anak-anak muda kita juga seperti dibiarkan dan tiada tempat yang stabil dan kukuh untuk menjamin masa depan. Mereka tidak nampak hala tuju UMNO Pekan selepas ketiadaan Dato’ Sri Najib. Kerana itu, sampai masanya UMNO Pekan perlukan perubahan dan semangat yang baharu.
“Selaku wakil rakyat BN Bebar selama tiga penggal dan EXCO Kerajaan Pahang selama dua penggal dengan keputusan pilihanraya Bebar yang amat baik sejak tiga penggal lalu, saya yakin sudah tiba masanya untuk saya menabur bakti dan keringat demi membawa perubahan lebih baik kepada UMNO Pekan,” katanya.
Menurut Pengerusi Biro Penerangan UMNO Pekan itu, beliau yakin kerjasama dan hubungan baiknya dengan seluruh kepimpinan UMNO Negeri mampu membawa pembaharuan yang diperlukan.
“Dengan kerjasama erat bersama kerajaan negeri selain bertindak sebagai EXCO Kerajaan Pahang, lebih banyak usaha kemajuan dan pembangunan dapat saya bawa ke Pekan untuk kesejahteraaan rakyat termasuk ahli UMNO.
“Saya juga melalui sejarah zaman kekalahan UMNO pada PRU 14 pada 2018. Pahit jerih pengalaman selaku wakil rakyat dikala UMNO tidak mempunyai apa-apa kuasa cukup mematangkan dan menginsafkan.
“Berkat kesabaran dan usaha berterusan, semua ini mampu dihadapi walau dalam apa jua keadaan, rakyat dan negeri terus dijaga baik dan sempurna,” katanya.
Mohammad Fakhruddin sebelum ini berjaya membawa banyak usaha dan projek penting untuk rakyat ke Pekan antaranya projek pembinaan Rumah Prima di kawasan 50 ekar dan rumah untuk kakitangan kerajaan di kawasan 10 ekar di Kampung Marhum dan Kampung Beruas di Peramu Jaya.
Selain itu juga, pembinaan 24 menara telekomunikasi di seluruh Pekan; RM19 juta peruntukan untuk PAIP
Daerah Pekan bagi menambah baik bekalan air di seluruh Pekan. Begitu juga RM19 juta diperuntukan untuk Projek Bekalan Air Ganchong – Tg Agas – Nenasi – Merchong; Projek jalan raya baru kampung Orang Asli dan 12 buah rumah baharu bertiang untuk 12 keluarga asnaf di Temai.
Hal ini membuktikan Mohammad Fakhruddin terus memperjuangkan kebajikan rakyat Pekan sejak tiga penggal lalu melalui kerjasama kerajaan negeri dan komited meneruskan usaha itu.
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru pada pemilihan parti berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi.
Seorang nama lagi bakal mencabar Mohammad Fakhruddin adalah Timbalan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly.