Berita

Pemergian Mael beri impak besar buat muzik rock tempatan – PM

Ucapan itu dimuat naik Anwar menerusi akaun Twitter miliknya.

KUALA LUMPUR 28 April – Pemergian penyanyi kumpulan XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael, yang meninggal dunia semalam akan meninggalkan dampak mendalam terhadap industri muzik rock tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Twitter beliau berkata, hal ini kerana Allahyarham Mael merupakan antara nama besar dalam lapangan seni tanah air.

“Saya utus takziah kepada keluarga Allahyarham saudara Syed Ismail yang menyahut panggilan Ilahi.

“Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Terdahulu, penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia di Hospital Muar, Johor kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Pemergian arwah Mael yang berusia 55 tahun itu disahkan anaknya, Sharifah Irfatasha.

Difahamkan, Allahyarham sebelum itu mengalami sesak nafas dan dibawa ke hospital sebelum meninggal dunia.

Pada Ogos 2019, Mael pernah dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan dan tidak mampu bergerak. Di Hospital Muar juga, beliau menerima rawatan hingga keadaannya kembali pulih.

XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai “Raja Funfair”. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button