BeritaJenayah

3 ahli keluarga ditemui mati di sebuah rumah di Seremban

Tiga ahli keluarga ditemui mati di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal berhampiran sini, pada kira-kira jam 4.53 petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau busuk yang datang dari rumah berkunci itu.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis bersama pasukan bomba pergi ke rumah berkenaan dan memotong kunci pagar. Pemeriksaan menemui tiga mayat dalam keadaan reput di dua bilik tidur rumah itu.”

“Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat tersebut adalah ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya berusia 59 tahun, dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Hatta berkata, pemeriksaan forensik mendapati terdapat kesan luka pada lengan kanan anak lelaki itu, manakala tiada tanda mencurigakan pada mayat kedua ibu bapanya.

“Turut ditemui ialah empat bilah pisau yang mempunyai kesan darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian, serta pelbagai jenis dadah di atas meja di ruang tamu,” katanya.

Ketiga-tiga mayat telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Artikel Berkaitan

Back to top button