Sukan

Pendaftaran Bank Rakyat Johor International Marathon 2025 kini dibuka

PENDAFTARAN penyertaan bagi acara Bank Rakyat Johor International Marathon 2025 dibuka secara rasmi bermula hari ini.

Acara larian antarabangsa yang akan berlangsung pada 8 hingga 9 November 2025 di Kota Jail, Johor Bahru ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD 15,600.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran bagi Bank Rakyat Johor International Marathon 2025 dibuka secara berperingkat, di samping menawarkan diskaun eksklusif khusus buat pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat bagi yuran pendaftaran.

“Kategori pendaftaran pertama menawarkan kadar diskaun istimewa sebanyak 30% khusus untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat, termasuk pelanggan yang membuat bayaran menggunakan FPX Bank Rakyat bermula 15 Ogos hingga 21 Ogos 2025.

“Bagi kategori pendaftaran awal (early bird) pula dibuka kepada orang ramai bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos 2025, dengan pemegang kad Bank Rakyat layak menikmati diskaun tambahan sebanyak 20% daripada kadar yuran penyertaan yang ditetapkan.

“Manakala, pendaftaran kategori biasa (normal) pula akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 September hingga 30 September 2025 dengan diskaun eksklusif sebanyak 10% untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat,” katanya.

Acara ini menampilkan lima kategori larian iaitu 42KM (maraton penuh) dan 21KM (separa maraton) yang mana terbuka kepada peserta berumur 18 tahun ke atas, 10KM bagi peserta berumur 16 tahun ke atas, 5KM bagi peserta berumur 13 tahun ke atas dan 2KM (Nuri Dash Run) bagi larian kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun.

“Nilai dan komitmen yang diaspirasikan bersama dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selaku penganjur serta pertumbuhan positif budaya larian di negara ini memberi keterujaan kepada kami untuk bersama-sama mempromosikan gaya hidup sihat dan mempereratkan lagi hubungan kami dengan masyarakat, di samping menyokong pembangunan sukan negeri Johor sebagai peneraju agenda ‘Sporting Nation’ menjelang tahun 2030,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang rasmi di www.johorinternationalmarathon.com, serta ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat dari semasa ke semasa untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan

Back to top button