Azam suruh Mansoor, Adlan balik Malaysia, jangan beri banyak alasan
Azam tidak mahu dengar lagi alasan dari kedua-dua individu itu yang sedang dicari SPRM

KUALA LUMPUR 17 Ogos – “Balik saja dan jangan bagi banyak alasan,”, itu tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Nasihat itu ditujukan kepada peguam yang juga Pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS) Mansoor Saat dan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang masih dicari SPRM.
“Saya tetap dengan pendirian saya. Awak balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.
“Mungkin cakap saya ini cakap yang orang tidak suka tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik saja dan jangan bagi alasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Forum Eksekutif Merdeka, Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.
Forum itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Terdahulu, Mansoor, 69, menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.
Tegasnya pada kenyataan media, beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.
Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.
Sebelum ini, Muhammad Adlan , turut dilapor menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.
Semakan rekod mendapati, Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.
Pada 10 Ogos lalu, Azam pernah meminta ahli perniagaan, Muhammad Adlan yang kini berada di luar negara untuk kembali berurusan dengan pihaknya tanpa sebarang alasan.
Azam turut menafikan SPRM baru mencari menantu bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya agensi berkenaan sudah beberapa kali mencuba menghubungi beliau.
“Kita sudah mencarinya (Muhammad Adlan) sejak Jun tetapi gagal untuk beri bekerjasama dan setiap kali pegawai penyiasat berhubung dengannya, ada saja alasan diberikan.
“Tindakan (notis individu dikehendaki) dilakukan apabila beliau tidak mahu bekerjasama dan bukan ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN),” katanya. – Xklusif