Sukan

Kerajaan Komited Merakyatkan Sukan Permotoran Negara

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menegaskan komitmen kerajaan untuk merakyatkan sukan permotoran agar tidak hanya dilihat sebagai hiburan elit, sebaliknya mampu dinikmati masyarakat umum di seluruh negara.

Beliau berkata, usaha itu dizahirkan melalui penganjuran Karnival Sukan Permotoran yang dilaksanakan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara, Bahagian Pembangunan Sukan serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Program berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berada di litar sebenar menerusi inisiatif seperti Sepang Track Day.

“Karnival ini menyasarkan 5,000 peserta sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk rakyat menikmati kemudahan di SIC,” katanya ketika merasmikan Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 di SIC, semalam.

Adam turut menegaskan sukan permotoran akan dijadikan acara tahunan bukan sahaja di Sepang, malah diperluaskan ke litar lain mengikut kapasiti yang sesuai. Katanya, penekanan bukan hanya diberi pada keseronokan, tetapi juga aspek keselamatan dan kesedaran dalam kalangan peminat.

Dari segi sokongan, beliau menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan dana besar bagi memastikan sektor ini terus berkembang. Setiap tahun, SIC menerima sekitar RM50 juta daripada peruntukan Kementerian Kewangan, selain kira-kira RM25 juta lagi untuk program pembangunan belia seperti Rakan Muda. Untuk tahun ini sahaja, lebih RM3 juta telah dibelanjakan khusus bagi penganjuran program sukan permotoran.

Mengulas hala tuju masa depan, Adam berkata KBS merancang memperkukuh kerjasama dengan penganjur antarabangsa bagi menjadikan Sepang destinasi permotoran berprestij dunia dengan menarik lebih banyak acara bertaraf global serta kehadiran nama besar sukan tersebut ke Malaysia.

Artikel Berkaitan

Back to top button