Kit Siang minta pengundi dedikasi enam PRN kepada Salahuddin

KUALA LUMPUR 25 Julai – Veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang meminta pengundi di enam negeri untuk ‘mendedikasikan’ pilihan raya (PRN) kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurut Kit Siang, rakyat harus meneruskan visi bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu demi kestabilan politik dan perpaduan nasional agar Malaysia dapat bangkit semula menjadi negara bertaraf dunia.
Kit Siang berkata, pemergian Timbalan Presiden Amanah itu satu kehilangan kepada negara.
“Akan menjadi satu perkara yang bertentangan dengan visi Salahuddin untuk melihat pertukaran Kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Dan pastinya menjadi harapan Salahuddin untuk melihat perubahan politik di Kedah, Kelantan, dan Terengganu dan melihat negeri-negeri ini diangkat dari kedudukan mereka sebagai negeri-negeri termiskin kepada negeri-negeri termaju di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kit Siang berkata, Salahuddin sebelum ini berkali-kali menegaskan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai agenda yang lebih berteraskan rakyat berbanding Perikatan Nasional.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, Salahuddin dalam ucapan terakhir ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Batu Buruk, Terengganu telah mendedahkan terdapat usaha pintu belakang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dengan menghasut ahli Kabinet Barisan Nasional (BN).
“Salahuddin mengatakan: ‘Ahli-ahli Kabinet, termasuklah yang dari BN dan parti-parti gabungan Pakatan Harapan adalah antara yang paling stabil, kuat, harmoni, dan tidak termakan dengan hasutan-hasutan sebegini. – Malaysiagazette