Jenayah

Lebih seorang ahli politik disyaki ‘payung’ judi haram – SPRM

KUALA LUMPUR 27 Jun – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ada ahli politik melindungi kegiatan judi haram dalam talian di negara ini, adalah membabitkan lebih daripada seorang ahli politik.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti ahli politik atau parti yang disertai suspek berkenaan kerana siasatan masih berjalan.

“Kita sedang siasat perkara ini. Laporan (ahli politik lindungi kegiatan judi haram) baru dibuat dalam bulan lepas, jadi kita masih lagi mengumpul maklumat.

“Kita tak boleh dedahkan siapa ahli politik berkenaan, tapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Kalau terbukti, ia adalah satu kesalahan.

“Ada beberapa (ahli politik) dalam kalangan mereka (yang disyaki menaungi kegiatan judi haram), tapi saya tak boleh kata ramai atau tidak kerana nanti dimanipulasi banyak pihak.

“Itu (parti kerajaan atau pembangkang) pun saya tak boleh nak kata. Ahli politik itu, ahli politiklah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di WTCKL di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah ahli politik yang disyaki terbabit melindungi kegiatan judi haram secara dalam talian, seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat.

Pada 15 Jun lalu, Saifuddin ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini dinaungi pemimpin politik, dan ia menjadi kekangan terbesar kepada Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan kerajaan untuk membanteras jenayah berkenaan.

Artikel Berkaitan

Back to top button