Lelaki maut terjatuh ketika tukar siling institusi kemahiran di Kepala Batas
Mangsa bersama dua pekerja lain sedang menukar siling berhadapan pentas dewan berkenaan ketika kejadian

KEPALA BATAS 22 Sept – Seorang lelaki yang dikejarkan ke hospital selepas terjatuh pada ketinggian 4.57 meter (m) ketika menjalankan kerja-kerja menukar siling sebuah institusi kemahiran, di sini, pada 12 September lalu dilaporkan meninggal dunia semalam.
Dalam insiden jam 5 petang itu, mangsa bersama dua pekerja lain sedang menukar siling berhadapan pentas dewan berkenaan.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKPP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan berhubung insiden itu.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa adalah warga tempatan berusia 48 tahun yang juga pekerja sub kontraktor dilantik untuk melakukan tugas senggaraan dan pembaikan di institusi berkenaan.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja menukar siling berhadapan pentas di dewan institusi terbabit sebelum terjatuh dari ketinggian 15 kaki (4.57m).
“Ekoran itu, mangsa tidak sedarkan diri berikutan kecederaan dialaminya dan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan,” katanya.
Katanya, selepas seminggu menerima rawatan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Susulan kejadian itu, JKKP mengeluarkan satu notis larangan terhadap kontraktor terbabit bagi menjalankan kerja-kerja di tempat tinggi sehingga langkah sewajarnya diambil.
“Pada masa sama, JKKP negeri juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.
Menurutnya, seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
PASIR MAS 22 Sept – Empat lelaki termasuk dua pelajar ditahan manakala 200 biji pil epam dirampas di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Repek, di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata mereka yang ditahan jam 9.30 malam itu semalam berusia antara 16 hingga 19 tahun termasuk seorang warga Thailand.
“Empat lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka ditahan. Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis berjaya merampas pil disyaki dadah jenis nitrazepam (epam) sebanyak 200 biji dengan anggaran berat 20 gram dan bernilai RM800.
“Hasil semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Kama Azural berkata ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek disahkan negatif dadah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi tujuan siasatan.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 097932222 atau di balai yang berdekatan. – Harian Metro