CIMB Artober bukti seni, fesyen seiring
CIMB berhasrat untuk memacu ekosistem seni dan budaya Malaysia, keluar dari kebiasaan kerana seni tidak lagi terbatas di ruang galeri seni sahaja

KUALA LUMPUR 5 Okt – Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran seni bertaraf antarabangsa menerusi CIMB Artober bermula esok hingga Ahad ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Keunikan pameran Artober bertemakan Art & Soul bukan saja dinanti-nantikan pemain industri malah peminat seni dan fesyen turut tidak melepaskan peluang mendekati koleksi peribadi Kain Tenun Pahang diRaja dan lukisan kepunyaan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pahang Pavilion.
Dianjurkan buat tahun keempat, acara ini juga adalah kempen budaya dan gaya hidup yang bertujuan menambah semangat dan daya hidup kepada persada seni kreatif kontemporari tempatan.
Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, menerusi Artober juga, CIMB berhasrat untuk memacu ekosistem seni dan budaya Malaysia, keluar dari kebiasaan kerana seni tidak lagi terbatas di ruang galeri seni sahaja.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis perasmian Artober 2023, di MITEC, hari ini.
Dalam masa sama, CIMB Artober Fashion Week akan menampilkan sepuluh pereka Malaysia dan dua pereka jemputan dari Indonesia yang memperagakan koleksi Art-to-Wear dan pelayaran (Cruise) terbaharu mereka pada siri pertunjukan fesyen yang menarik.
Antara pereka terkemuka yang bakal memeriahkan CIMB Artober Fashion Show ialah Ezuwan Ismail, Ash Majid, CARRO, Radzuan Radziwill, Athan Siahaan dari Indonesia dan kerjasama antara Me2We x Dato’ Zainal Abidin.
Lebih menarik, acara CIMB Artober Fashion Week yang berlangsung selama tiga hari bakal menampilkan sesuatu yang istimewa dengan memupuk kerjasama antara pereka fesyen dan pemain industri seni bagi menawarkan pengalaman seni, fesyen dan budaya yang unik.
Pereka dan Pengarah Fesyen CARRO, Caroline Wass berkata, kolaborasi antara dunia fesyen dan seni bukan sekadar penggabungan dua alam kreatif, tetapi sinergi yang kuat yang berpotensi mentakrifkan semula sempadan ekspresi manusia.
Kolaborasi pereka fesyen dan artis sangat penting dalam landskap kreatif masa kini kerana ia adalah perkongsian harmoni yang menyemai tenaga segar dalam kedua-dua industri.
Menurutnya, fesyen adalah seni yang dipakai setiap hari, manakala kanvas pula merupakan ekspresi diri dan cerminan evolusi budaya.
“Sinergi ini bukan sahaja mendorong kreativiti individu, tetapi juga mencetuskan perbualan mengenai budaya, identiti dan isu kemasyarakatan.
“Akhirnya, kerjasama ini membuka jalan ke arah dunia fesyen yang lebih bertenaga, inklusif dan merangsang pemikiran yang bergema dengan kepelbagaian global penonton,” katanya.
Menerusi CIMB Artober Art & Soul pula, ia akan menampilkan 18 galeri seni komersial terkenal dan tiga hasil kraf bakal mendapat perhatian bukan saja dari institusi korporat dan pengumpul yang serius, tetapi juga pengujung baharu.
Peminat seni kontemporari, tekstil dan warisan juga berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi peribadi Kain Tenun Pahang diRaja dan lukisan kepunyaan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pahang Pavilion yang akan dipamerkan oleh pereka fesyen terkemuka, Pink Jambu.
Edisi tahun ini, antara galeri yang akan mempamerkan hasil karya yang menarik termasuklah SARENG Gallery, G13 Gallery, TAKSU, Segaris, Wei Ling Gallery, A+ WORKS of ART, Suma Orientalis, Galeri Puteh dan Qing Gallery iaitu galeri dari Malaysia dan The Drawing Room Gallery dari Makati, Philippines.
Selain program CIMB Artober Art & Soul yang berlangsung di MITEC selama tiga hari, galeri-galeri ini juga akan menganjurkan pameran di galeri masing-masing.
Berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2023, CIMB Artober merupakan satu acara kesenian unik yang menawarkan pelbagai karya yang cukup mengujakan. – Xklusif