Hutang FELDA: Bekas pembantu Muhyiddin pertikai bukti Anwar
Isu penghapusan hutang peneroka Felda adalah sebahagian daripada keputusan Jemaah Menteri pada 2020.

KUALA LUMPUR 20 Julai – Bekas pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa penerbitan sukuk berjaminan kerajaan yang berkait dengan isu penghapusan hutang peneroka Felda adalah sebahagian daripada keputusan Jemaah Menteri pada 2020.
Datuk Dr Marzuki Mohamad yang sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin ketika bergelar perdana menteri pada 2020 berkata, dokumen berkenaan penerbitan yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti beliau menandatangi dokumen bagi penghapusan hutang peneroka FELDA, tidak menunjukkan pelupusan itu hanya dibuat pada 2023.
“Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media perdana menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada Jun 2023.
“Ia berkenaan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Jemaah Menteri pada 2020,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar kemuka sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait jaminan kerajaan kepada Felda yang ditandatanganinya.
Dokumen itu dikemukakan dalam pertikaian antara beliau dan Muhyiddin, yang bertegas beliau lah yang melupuskan hutang peneroka Felda pada 2021.
Anwar sebaliknya menegaskan walaupun pentadbiran dulu bersetuju menyelesaikan hutang itu, peruntukan awal untuk melupuskan hutang peneroka Felda diserahkan dalam belanjawan 2023.
“Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, eloklah kerajaan ‘declassify’ minit mesyuarat Jemaah Menteri tersebut untuk tatapan rakyat,” kata Marzuki. – Xklusif