Anwar minta semua parti hormat keputusan rakyat
Anwar menyifatkan keputusan yang dicapai ii melalui proses demokrasi yang betul.

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, kesemua parti termasuk individu yang terlibat di dalam pilihan raya negeri (PRN) supaya menghormati keputusan dibuat oleh rakyat.
Anwar berkata, apa jua keputusan telah dicapai merupakan sebahagian daripada proses demokrasi dan sekiranya wujud pertikaian diminta menggunakan saluran yang betul.
Pada masa sama, Anwar mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan dalam memastikan pilihan raya berjalan lancar serta selamat.
“Seperti mana kita maklum, keputusan ini adalah keputusan rakyat. Dalam sistem demokrasi sama ada kita resah atau tidak, kita harus hormat keputusan rakyat.
“Hormat dalam erti kata bersedia menerima keputusan dengan baik. Kalau ada apa-apa permasalahan perundangan atau protes itu dibuat mengikut jalur hukum dan juga peraturan ditetapkan oleh SPR.
“Selepas bertarung bersungguh-sungguh, ini masanya semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim menjaga keamanan negara.” katanya dalam sidang media, malam ini.
Perdana Menteri berkata, selepas berakhir PRN, Kerajaan Perpaduan akan berkerja keras dalam mengangkat martabat rakyat serta keamanan negara.
“Kita akan terus tertungkus-lumus bekerja, berkhidmat sesuai dengan hasrat kita membangun Malaysia Madani dan dasar Ekonomi Madani.
“Insya-Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia terus mencipta kejayaan,” katanya lagi. — Xklusif