Bina semangat patriotisme, jati diri murni – Ismail Sabri
Ismail Sabri mahu semua rakyat memiliki jati diri yang murni kepada tanah air tercinta.

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Rakyat diseru menerapkan rasa kebertanggungjawaban kepada negara dan membina jati diri sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang disambut hari ini.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengajak rakyat memupuk semangat patriotisme serta jati diri yang murni kepada tanah air tercinta.
Menurut beliau, tanggal 31 Ogos menjadi tarikh keramat mengimbau kembali perjuangan insan yang berkorban nyawa, keluarga dan harta untuk kemerdekaan negara tercinta.
“Keamanan dan kemakmuran, hatta pembangunan yang pesat pada hari ini bukan hadir kerana pengorbanan satu hari tetapi juga pengorbanan yang getir dan panjang.
“Mengekalkan kemerdekaan negara bukan hanya dengan laungan slogan-slogan tetapi harus teguh mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara yang telah kita gapai sejak 31 Ogos 1957.
“Marilah kita terapkan rasa kebertanggungjawaban kepada negara dan memupuk semangat patriotisme serta jati diri yang murni kepada tanah air tercinta.
“Selamat Hari Kebangsaan 2023,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ diadakan di Dataran Putrajaya, hari ini.
Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut melambai ke arah orang ramai dan disambut dengan sorakan pengunjung.
Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Ridhwan Mohd Asri. — Xklusif