Asyraf Wajdi dedah 7 kebaikan kalau PAS sertai Kerajaan Perpaduan
Awal minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menyatakan beliau pernah menjemput PAS pada tahun lalu untuk menganggotai Kerajaan Perpaduan, namun tawarannya ketika itu ditolak parti berkenaan

KUALA LUMPUR 20 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan tujuh kebajikan jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan, termasuk UMNO akan kembali ‘dibersihkan’,
Menurutnya, tidak akan ada lagi kata nista, label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran buruk apabila UMNO dan PAS kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan penyatuan ummah.
“Banyak kebaikan sebenarnya jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan, antaranya tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong PAS yang ‘mengkafirkan’ atau menyesatkan mana-mana pihak terutamanya terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka.
“Tiada lagi isu ‘Islam terancam’ dan ‘Melayu terancam’ sebagaimana yang sering disebarkan dalam pelbagai media dan pentas ceramah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Awal minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menyatakan beliau pernah menjemput PAS pada tahun lalu untuk menganggotai Kerajaan Perpaduan, namun tawarannya ketika itu ditolak parti berkenaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan demikian ketika ditemu bual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian pada 11 Oktober lalu, bersama ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti PAS jika ia wujud pada masa akan datang.
Beliau yang juga Presiden PKR memberi gambaran pintu untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan belum ditutup rapat dengan syarat PAS perlu menerima Malaysia sebagai negara berbilang agama dan setiap rakyat mempunyai tempat, meskipun Islam ialah agama Persekutuan.
Bagaimanapun, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini, berkata partinya tidak menerima sebarang jemputan rasmi bagi menyertai Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga memaklumkan parti itu masih belum menerima sebarang tawaran atau jemputan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kecuali tawaran terbuka dalam temu bual dengan Time Magazine.
Asyraf Wajdi menjelaskan, kebaikan ketiga jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan ialah DAP sekali lagi akan disucikan dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika parti itu dan PAS bersama dalam gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, 2004 dan 2008.
“UMNO akan kembali dibersihkan dan tiada lagi kata nista, label-label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran yang dikaitkan dengan binatang apabila sudah kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan dalam kerjasama MN dan Penyatuan Ummah.
“Tiada lagi istilah Malaysia menuju negara sekular kerana bersekongkol dengan DAP yang dilabelkan ‘kafir’ dan sekular,” katanya.
Kebaikan keenam, katanya, tiada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama yang mempunyai orang Melayu Islam seperti UMNO, AMANAH dan PKR yang akan dilabel ‘barua’ dan ‘penjilat’ DAP atau label-label ‘kafir’, ‘toghut’ dan sebagainya apabila PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.
Terakhir, beliau berkata, Anwar akan kembali dijulang PAS sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana sewaktu PRU-10, PRU-11 dan PRU-12 dahulu.
“Semua di atas pastinya akan menurunkan suhu politik negara yang memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
“Ini kerana tiada lagi politik fitnah, politik tohmah, politik adu domba yang merugikan dan memudaratkan,” katanya. – Xklusif