Kakitangan sekolah ditahan cabul 15 murid berkeperluan khas di Sarawak
Sebanyak 12 laporan polis dibuat terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu

KUALA LUMPUR 24 Nov – Seorang pembantu tadbir di sebuah sekolah rendah di Sarawak ditahan polis pada 17 Nov lalu kerana disyaki mencabul 15 murid berkeperluan khas.
Ketua Polis Sarawak Mancha Ata berkata sebanyak 12 laporan polis dibuat terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu, lapor The Borneo Post.
“Mangsa dikenal pasti sebagai kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk yang mempunyai masalah pembelajaran, kecacatan fizikal, dan autisme,” katanya.
Lelaki tersebut kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan Mancha berkata, seorang guru sekolah menengah ditangkap semalam kerana disyaki mencabul tiga pelajarnya yang berusia antara 14 dan 15 tahun.
Beliau berkata tiga laporan dibuat terhadap suspek berusia lebih 40 tahun itu. Guru itu kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a), 14(c), 15(f), dan 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.