Berita

Peranan Optometris diperkukuh dengan Sistem Credentialing dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit mata

Satu langkah penting telah diambil dalam bidang penjagaan kesihatan mata di Malaysia apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, merasmikan pelancaran Garis Panduan Penjagaan Mata Komprehensif serta modul latihan Enhanced Eye Care. Inisiatif ini diharap mampu membawa perubahan besar dalam sistem penjagaan kesihatan mata negara, khususnya dalam memperkasakan peranan optometris bertauliah sebagai barisan hadapan dalam penjagaan mata primer rakyat Malaysia.

Pelancaran garis panduan ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Optik Malaysia, Persatuan Optometris Malaysia (AMO), pakar oftalmologi serta sektor akademik dan swasta. Ia muncul sebagai respons kepada keperluan mendesak untuk menyusun semula peranan optometris dalam sistem kesihatan negara, terutamanya selepas cabaran besar yang dihadapi sepanjang pandemik COVID-19.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh tokoh-tokoh penting seperti Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) yang juga Penasihat Jawatankuasa Khas Perkhidmatan Penjagaan Mata Primer Optometris Swasta, Ketua Kepakaran Oftalmologi KKM, Dr. Mohd Aziz Husni, Presiden AMO, Ahmad Fadhullah Fuzai serta Presiden College of Optometrists, Prof. Dr. Azrin Esmady Ariffin. Kehadiran mereka menandakan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Garis Panduan Penjagaan Mata Primer yang dilancarkan disediakan oleh Jawatankuasa Khas Perkhidmatan Penjagaan Mata Primer Optometris Swasta yang dilantik oleh Menteri Kesihatan. Garis panduan ini menyediakan panduan lengkap untuk optometris menjalankan pemeriksaan, diagnosis, dan pengurusan kesihatan mata dalam konteks penjagaan mata primer dengan standard yang tinggi.

Menurut Presiden AMO, Ahmad Fadhullah Fuzai, objektif utama garis panduan ini adalah untuk memastikan pemeriksaan komprehensif dapat dijalankan bagi mengesan anomali penglihatan dan penyakit mata secara awal. Ia juga menekankan kepentingan merujuk pesakit kepada pakar oftalmologi apabila perlu, selain memastikan optometris mematuhi etika profesional dan meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) tahunan.

Modul latihan Enhanced Eye Care turut diperkenalkan untuk meningkatkan kemahiran optometris dalam pengesanan awal dan pengurusan penyakit mata kronik seperti diabetik retinopati dan glaukoma. Modul ini juga membekalkan pengetahuan dan kemahiran dalam menangani kecemasan mata serta memastikan rujukan yang tepat dan cepat kepada pakar oftalmologi, menurut Ahmad Fadhullah.

Satu aspek penting dalam inisiatif ini adalah proses ‘credentialing’ dan ‘privileging’ bagi optometris swasta. Proses ini memastikan optometris yang terlibat layak menjalankan prosedur klinikal dengan selamat dan berkesan melalui pengesahan kelayakan profesional serta pemantauan kompetensi secara berterusan. Credentialing melibatkan pengesahan kelayakan akademik dan profesional, manakala privileging memberi keizinan menjalankan prosedur tertentu berdasarkan tahap kemahiran dan latihan.

Dengan adanya garis panduan yang jelas, modul latihan komprehensif, serta sistem credentialing dan privileging yang ketat, diharapkan perkhidmatan penjagaan mata di Malaysia akan menjadi lebih berkualiti, beretika, dan selamat untuk semua lapisan masyarakat. Ini juga akan mengurangkan beban kepada pakar oftalmologi, mempercepatkan proses rawatan, dan meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan masalah mata.

Artikel Berkaitan

Back to top button