Dua pekerja maut tertimbus runtuhan tanah

Dua pekerja warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Elmina Ridge, di sini, pagi semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa pertama dibawa keluar pada jam 11.12 pagi, manakala mangsa kedua dikeluarkan 23 minit kemudian.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong tiba di lokasi kejadian pada jam 10.39 pagi.
“Kejadian ini melibatkan dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah dan konkrit culvert u box dengan kedalaman 0.3m ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan longkang,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Ahmad Mukhlis memberitahu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.