Ekonomi MADANI: Kemiskinan tegar dinoktahkan tahun ini
Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudah digerakkan.

KUALA LUMPUR 27 Julai – Wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata antaranya termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudah digerakkan bagi menangani isu segera yang mengesankan rakyat.
Katanya, ia termasuk menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif yang mana pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk menambah peruntukan, memudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif.
“(Selain itu) ia untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha sudah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung.
“Konsep Payung RAHMAH turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup. Payung RAHMAH diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini. Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. — Xklusif