Politik

Pi siasat projek East 99, dari 2017 sampai la tak selesai – Sanusi

Sanusi berkata, projek pada 2007 di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, itu belum selesai sehingga merugikan kerajaan negeri dalam banyak aspek.

KUALA LUMPUR 28 Julai – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diminta menyiasat projek 99 East di Langkawi yang didakwa menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian ratusan juta ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata projek pada 2007 di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, itu belum selesai sehingga merugikan kerajaan negeri dalam banyak aspek.

“Siri soalan untuk Pudin. Soalan ketiga, suruh Pudin pi siasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi. Projek tahun 2007 masa Tok Det (Mahdzir) jadi Menteri Besar (MB), sampai la tak selesai lagi, apa pun tak jadi. Last last kena saman dengan syarikat swasta Terra Monda yang hanya bermodalkan air liur.

“Akibat keghairahan seorang dua ligan projek padang golf dan kediaman mewah, projek yang diwar-warkan bernilai RM1.4 bilion itu merugikan kerajaan dalam banyak aspek.

“Kerajaan terpaksa bagi tanah milik kerajaan dan tanah bukan milik kerajaan (tanah hutan simpan, tanah PKB – Permodalan Kedah Berhad) , tanah LKIM – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), tanah MPLBP – Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Pelancongan) kepada projek itu, dan terpaksa cari tanah lain untuk ‘swapping’ (tukar) sekatan Rizab Melayu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Mohamad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, isu itu dikatakan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan negeri pada 2018 hingga 2020, perkara itu didakwa sudah ada penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, ia tidak akan selesai melainkan kerajaan menanggung rugi beratus juta ringgit.

Dalam kenyataan itu, Muhammad Sanusi turut berkongsi laporan BH Online mengenai projek berkenaan.

Menurut laporan pada 11 Disember 2018, 99 East Langkawi Sdn Bhd, usaha sama antara Menteri Besar Incorporated (MBI), milik kerajaan negeri Kedah dengan sekumpulan pelabur antarabangsa, akan menjalankan pembangunan bernilai berbilion ringgit di Langkawi dalam masa tiga tahun.

Pengarah 99 East, Rohan Cavaliero, berkata fasa pertama pembangunan berkenaan termasuk antaranya, lapangan golf 18 lubang, 58 lot villa berkepadatan rendah serta kompleks pangsapuri dan hotel menghadap laut di kawasan seluas 100 hektar di pulau berkenaan.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution mendakwa Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI, membawa keluar unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, sekali gus melontarkan pelbagai persoalan mengenai projek itu termasuk kedudukan dua warga China yang dikatakan dibawa masuk MBI untuk tujuan eksplorasi REE.

Muhammad Sanusi bagaimanapun berkata, beliau hanya akan menjawab mengenai persoalan itu kepada pihak berkuasa dan bukannya ahli politik. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button