Hidup rakyat semakin melarat, PGIRM desak kerajaan segera luluskan tuntuan KWSP Bersasar
Azmi Mohd Tahir berkata, kehidupan rakyat kini sangat terkesan dengan impak penarikkan subsidi luar jangkaan.

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kerajaan perlu keluar dengan tindakan drastik tanpa mengira fahaman politik dan populariti dengan meluluskan pengeluaran kecemasan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar dari akaun 1 tanpa syarat kepada hampir 100,000 pencarum.
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, kehidupan rakyat kini sangat terkesan dengan impak penarikkan subsidi luar jangkaan.
“Apabila ada subsidi yang ditarik, tanpa disedari ia telah memberi kesan terhadap rakyat atas beberapa faktor yang menyebabkan rakyat tidak mampu untuk teruskan hidup dgn tenang.
“Antara kesan paling ketara apabila subsidi ditarik balik adalah rakyat kehilangan mata pencarian, dan masalah ini menjadikan rakyat semakin tertekan.
“Simpanan rakyat juga berkurangan disebabkan kesan pandemik yang melanda negara sebelum ini,” katanya.
Bukan itu saja, PGIRM mendapati pendapatan rakyat tidak seimbang dan masih diparas rendah.
“Apabila rakyat gagal mendapat pendapatan yang setimpal dengan komitmen hidup, ia secara tidak langsung meningkatkan data kemiskinan dalam negara.
“Perlu diambil kira juga peluang pekerjaan yang terhad menyukarkan lagi rakyat mencari pekerjaan yang sesuai.
“Apabila rakyat gagal mendapat kerja yang sesuai, mereka akan berisiko mendapat penyakit seperti tiga serangkai (Diabetes, Hipertensi, Tinggi Kolesterol) disebabkan tekanan yang dialami.
“Masalah ini juga menjurus kepada masalah sosial lain disebabkan pendidikan anak-anak yang tercicir,” katanya.
Justeru, PGIRM juga meminta supaya kerajaan menghentikan penarikkan subsidi secara drastik dan mengekalkan subsidi sedia ada sehingga dapat mengawal kemerosotan mata wang negara.
Ini berikutan situasi mata wang negara yang merosot berpunca daripada mata wang USD yang semakin meningkat.
Berdasarkan satu perkongsian tentang Self Sufficiency Ratio (SSR) Negara setakat 2021 (Sumber DOSM) menunjukkan bahawa Negara byk mengimport barangan bekalan asas untuk rakyat.
Dengan kadar mata wang yang terus menyusut, maka harga barangan import menjadi mahal dan menyebabkan rakyat pertengahan dan bawahan tidak mampu untuk mengekalkan permakanan sihat dan mendapatkan bekalan mampu milik. — Xklusif