Politik

“Jika MIC ada isu imej, kenapa Sivaraj terima semua peluang dan jawatan?’ – R Thinalan

KUALA LUMPUR 14 Jun – Ketua Penerangan MIC, R Thinalan menepis dakwaan Datuk C Sivaraj yang mendakwa parti itu mempunyai isu imej hanya selepas beliau disingkirkan daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Thinalan berkata, tidak sepatutnya timbul isu imej dikalangan ahli MIC seperti yang dinyatakan kerana Sivaraj tidak pernah menolak jawatan dan peluang yang diberikan oleh parti selama ini.

“Isu imej apa? Jika MIC sememangnya mempunyai isu imej, mengapa Sivaraj terima semua jawatan dan peluang yang diberikan oleh MIC kepada beliau yang termasuk jawatan Senator dan Ahli Jawatankuasa Pemandu MITRA?

“Tidak lupa juga peluang untuk bertanding sebagai calon di Buntong, Cameron Highlands dan Padang Serai malah selepas kehilangan Naib Presiden, beliau dilantik sebagai ahli CWC,” katanya ketika dihubungi Xklusif, hari ini.

Katanya lagi, jika Sivaraj percaya MIC mempunyai isu imej sejak itu, beliau sepatutnya menolak semua peluang ini dan membantu parti mendapatkan semula imejnya sebagai ahli biasa.

“Atau adakah dia baru menyedari bahawa MIC mempunyai isu imej sejak dia dikeluarkan daripada CWC?

“Ramai dalam parti, dari akar umbi hinggalah pucuk pimpinan telah mengabdikan diri untuk parti dan masyarakat walaupun tanpa memegang sebarang jawatan.

“Mereka bekerja keras untuk meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap MIC,” katanya.

Tegas Thinalan, perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah apabila Sivaraj dilantik sebagai ahli CWC, tiada alasan diberikan mengenai pelantikan itu sebagai hak prerogatif Presiden parti.

“Perkara yang sama perlu diguna pakai apabila presiden membuat keputusan untuk memecatnya daripada jawatan yang diberikan.

“Tidak ada keperluan formal untuk penjelasan atau alasan. Senario yang sama telah berlaku dalam parti seperti UMNO di mana tiada alasan diberikan untuk tindakan sedemikian kerana ia adalah dalam perlembagaan parti dan hak Presiden,” katanya.

Sebaliknya, Thinalan berkata bergelar sebagai senator, jawatan itu juga dikurniakan kepada Sivaraj melalui saranan parti.

“Sebagai ahli parti, beliau masih boleh berkhidmat dengan parti dan masyarakat dengan sebaik-baiknya.

“Sudah tentu, ini juga mesti dilakukan demi kepentingan parti, pemimpin dan ahlinya,” katanya.

Semalam, Sivaraj mempertahankan pendiriannya untuk tidak merayu kepada pucuk pimpinan MIC berhubung keputusan menyingkirkannya daripada CWC yang berkuat kuasa serta merta tanpa sebarang alasan.

Sivaraj juga mendakwa MIC mempunyai isu imej selain parti itu kini ditolak sepenuhnya oleh rakyat sekali gus menjadi tanggungjawab MIC untuk mencari jalan mendapatkan sokongan dan tidak dilihat sebagai ancaman. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button