
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menyiasat kes seorang pelajar Malaysia yang didakwa dokumen pengenalannya ditemui di medan perang Ukraine.
Menterinya, Zambry Abdul Kadir, berkata beliau enggan mengulas lanjut kerana kementerian masih dalam proses mengumpul maklumat.
“Kami akan mendapatkan maklumat dan menyemak fakta terlebih dahulu. Buat masa ini, terlalu awal untuk saya memberi komen,” katanya kepada media ketika ditemui di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Beberapa foto yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu Malaysia milik seorang lelaki berusia 20 tahun yang ditemui di medan perang telah tular di media sosial baru-baru ini.
Dokumen tersebut dilaporkan ditemui selepas tentera Rusia menawan kedudukan tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhzhia.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pemilik dokumen tersebut sedang melanjutkan pelajaran di negara itu.
Razarudin berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini selepas berbincang dengan keluarga pelajar tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa Bukit Aman sedang menunggu maklum balas daripada kedutaan Rusia berhubung dakwaan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam konflik antara Rusia dan Ukraine.