Berita

Kerajaan pertimbang beri subsidi secara tunai – PM

Anwar berkata perkara masih dipertimbangkan dan akan diumumkan kelak.

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Kerajaan sedang mempertimbangkan penyaluran subsidi menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan serta memberi manfaat kepada warga asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu sahaja.

“Cadangan untuk pemindahan tunai sedang diketimbangkan untuk beberapa urusan lain dan mungkin akan diumumkan (kelak).

“Soal pendekatan sama ada secara langsung kepada rakyat melalui pindahan tunai, yang memang difikirkan dalam beberapa isu lain yang ini kita akan umumkan lebih besar untuk mengelakkan ketirisan dan manfaat kepada asing ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sama ada kerajaan terbuka melaksanakan pemberian subsidi secara terus kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelakkan ketirisan.

Menjawab soalan sama ada dasar pemberian susbsidi bersasar akan memberi implikasi kepada negara luar untuk menghantar pekerja asing mereka, Anwar menegaskan, kerajaan mempunyai prinsip berkaitan subsidi supaya ia diberikan secara adil.

“Saya fikir pekerja asing datang sini untuk dapat gaji, bukan untuk dapat subsidi.

“Kita pun ada dasar supaya beri yang munasabah dan adil kepada semua termasuk bukan warganegara, tetapi tidak pula harus mana-mana negara beri subsidi kepada warga asing,” katanya lagi. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button