Khairy: UMNO kalah teruk pun, Zahid tetap stay
Khairy meramalkan Zahid tidak akan berundur daripada jawatan presiden UMNO.

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Khairy Jamaluddin meramalkan Presiden Umno Zahid Hamidi tidak akan berundur daripada jawatan itu sekiranya parti berkenaan mencatat keputusan buruk pada PRN di enam negeri hari ini.
“Zahid Hamidi tak akan turun. Umno akan kekal seperti biasa. Umno akan buat tak tahu.
“Sebab saya punya ramalan seperti pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sama juga. Umno kena bantai teruk pun, dia akan buat tak tahu,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu.
Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah, Khairy tidak menolak ia disebabkan faktor hujan dan orang ramai kurang berminat untuk mengundi.

Katanya, rakyat sudah letih berpolitik kerana terpaksa menghadapi terlalu banyak pilihan raya.
“Tetapi seperti mana saya sebutkan tadi, PRN ini penting. Walaupun tidak ada kesan kepada kerajaan pusat, tetapi ini boleh menentukan kerajaan di peringkat negeri.
“Sebenarnya kerajaan negeri inilah banyak menyelesaikan masalah harian rakyat. Rakyat biasanya tak ada urusan sangat dengan kerajaan pusat tetapi dengan kerajaan negeri macam-macam,” katanya.
Setakat jam 12 tengah hari tadi , Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Terengganu mencatatkan angka tertinggi pengundian dengan 42% diikuti Kedah 41% dan Pulau Pinang 38% .
Ia diikuti Selangor 36%, Negeri Sembilan 35% dan Kelantan 34% manakala PRK Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pengundian 39%. – FMT