Mahathir saman Anwar RM150 juta

KUALA LUMPUR 5 Mei – Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman libel RM150 juta terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa beliau memperkayakan diri, keluarganya dan rasis, antara lain.
Bekas perdana menteri berusia 97 tahun itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Mahathir mendakwa kenyataan itu dibuat Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.
Katanya, dakwaan itu menjatuhkan imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.
Beliau mahu Anwar manarik balik semua kenyataan fitnah terhadapnya yang disiarkan dalam media massa dan media sosial.
Katanya, kenyataan fitnah Anwar itu bertujuan menjatuhkan imejnya kerana ia dilihat dan didengar oleh orang ramai.
Mahathir juga mahu Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataan sama pada masa depan.
Saman itu difailkan Rabu lalu oleh peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali bersama perakuan segera supaya ia didengar dan diselesaikan segera.
Katanya, perkara itu adalah kepentingan awam kerana enam negeri dijangka mengadakan PRN tidak lama lagi.
Rafique berkata, kertas kausa sudah diserahkan kepada peguam Anwar, Thomas Philip, pada hari ia difailkan.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada 31 Mei ini.
Anwar dalam Kongres PKR pada 18 Mac lalu, tanpa menyebut nama Mahathir, merujuk tempoh seorang bekas bosnya menerajui kerajaan.
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003 dan sekali lagi selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Anwar menganggotai Kabinet pimpinan Mahathir dari 1983 sehingga beliau dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998.