Majikan abai undang-undang diskriminasi tempat kerja berdepan denda RM50,000
Kerajaan mengambil berat mengenai diskriminasi di tempat kerja, khususnya bagi individu yang mempunyai ketidakupayaan sama ada secara fizikal ataupun mental

KUALA LUMPUR 16 Okt – Denda maksimum RM50,000 menanti majikan jika didapati gagal mematuhi keputusan Ketua Pengarah Tenaga Kerja berkaitan diskriminasi di tempat kerja.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kerajaan mengambil berat mengenai diskriminasi di tempat kerja, khususnya bagi individu yang mempunyai ketidakupayaan sama ada secara fizikal ataupun mental.
Katanya, pindaan sudah dibuat ke atas Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 Januari 2023.
“Satu peruntukan baharu iaitu seksyen 69F dimasukkan ke dalam akta itu yang mana Ketua Pengarah Tenaga Kerja diberi kuasa mendengar dan memutuskan sebarang pertikaian berkaitan isu diskriminasi berkaitan pekerjaan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai sama ada kerajaan bercadang merangka undang-undang khas berhubung diskriminasi di tempat kerja bagi melindungi mereka yang mempunyai ketidakupayaan fizikal atau mental.
Sivakumar berkata, sehingga 30 September lalu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung menerima lapan aduan berkaitan isu diskriminasi iaitu dua aduan berkaitan bayaran tunai dan enam aduan berkaitan selain bayaran tunai.
Katanya, semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diselesaikan serta tidak berkaitan dengan ketidakupayaan sama ada secara fizikal ataupun mental.
“Kementerian berpandangan tiada keperluan mendesak untuk merangka legislatif khas berhubung diskriminasi di tempat kerja, khususnya bagi melindungi mereka yang mempunyai ketidakupayaan.
“Peruntukan perundangan sedia ada memadai untuk mengatasi masalah berkenaan syarat pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkat supaya semua pihak iaitu pekerja dan majikan arif mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan persekitaran kerja yang bebas diskriminasi,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengambil langkah pencegahan dengan menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 secara menyeluruh di tempat kerja bagi menggalakkan persekitaran kerja sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi pekerja.
“Jabatan akan menyiasat kes berkaitan isu kesihatan mental di tempat kerja yang dilaporkan majikan, pengamal perubatan dan pekerja.
“Di samping itu, Garis Panduan bagi Pencegahan Tekanan dan Keganasan di Tempat Kerja, 2001 turut diterbitkan bagi menggariskan tindakan bersepadu terhadap permasalahan tekanan dan keganasan yang wujud di tempat kerja,” katanya. – Xklusif