Anggota Tentera Berpeluang Beli Rumah Mampu Milik Menerusi Projek SASaR

Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) merupakan satu inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menyediakan rumah harga mampu milik. Ia bertujuan untuk memastikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM serta warga kerja awam di kementerian itu dapat memiliki rumah sendiri.
Bersesuaian dengan Teras 3 Pelan Strategik MINDEF 2021-2025, projek perumahan SASaR memfokuskan agenda kebajikan dan kualiti hidup anggota tentera. Buat masa ini, MINDEF sedang memantau projek perumahan SASaR yang sedang dilaksanakan di Sungai Besi, yang diberi nama sebagai Residensi Sateria.
Sehingga 12 April lalu, Residensi Sateria mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 65.51 peratus dan dijangka siap lebih 21 hari awal daripada jadual asal. Ia terdiri daripada 3,500 unit rumah pangsa yang dibangunkan di atas kawasan seluas 11.95 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025.
Setakat ini, 3,395 pemohon telah menandatangani Perjanjian Jual Beli, 51 pemohon sedang dalam proses, manakala 54 lagi sedang menunggu kelulusan pinjaman.

Selain Residensi Sateria di Sungai Besi, MINDEF turut merancang untuk membangunkan projek perumahan SASaR di Setapak dan Wardieburn. Setapak akan mempunyai 6,400 unit pangsapuri manakala di Wardieburn, sebanyak 974 unit pangsapuri untuk anggota tentera bakal dipersiapkan. Kedua-dua projek perumahan ini dijangka bermula pada penghujung tahun 2024 setelah mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam erti kata lain, MINDEF dijangka mampu menyediakan sebanyak 10,874 unit rumah bagi projek perumahan SASaR walaupun hanya di sekitar Kuala Lumpur. Melihat kejayaan Residensi Sateria dan perancangan projek perumahan akan datang, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled tidak menolak SASaR akan diperluaskan ke negeri lain berdasarkan permintaan anggota tentera.
“Pelaksanaan yang lain kita jangka bermula setelah mendapat semua kelulusan rancangan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) projek rintis kita gunakan SASaR Sungai Besi untuk kita lihat pelaksanaan dan kejayaannya kita merancang laksanakan di tempat lain di seluruh negara.
“Memang ada permintaan di negeri lain kita buat kajian pasaran kita tidak bina banyak seperti di sini, saya percaya bergantung permintaan dan sebagainya dan kenal pasti tapak yang sesuai dan boleh dilaksanakan projek dan pembinaan,” katanya ketika ditemu pihak media, baru-baru ini.
Kelebihan dan Manfaat SASaR
Projek perumahan SASaR memberikan peluang kepada warga ATM dan MINDEF untuk memiliki kediaman selesa dengan harga mampu milik. Sebagai contoh, unit pangsapuri di SASaR Sungai Besi dijual pada harga bermula dari RM150,000 hingga RM250,000, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Di Setapak, harga kediaman SASaR bermula dari RM150,000, manakala di Wardieburn, harga bermula dari RM350,000 hingga RM400,000.
Kaedah pembelian rumah di bawah projek SASaR untuk golongan sasar jauh lebih mudah dan murah berbanding dengan penjawat awam lain atau pekerja swasta.
Sebagai anggota tentera dan kakitangan MINDEF, projek perumahan SASaR wajar dimohon kerana ia ibarat satu peluang yang datang cuma sekali seumur hidup.
Persekitaran yang Selamat dan Kondusif
Selain daripada manfaat kewangan, projek perumahan SASaR juga menawarkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk ahli keluarga.
Contohnya Residensi Sateria di Sungai Besi, ia akan dilengkapi dengan kemudahan seperti taman permainan, pusat komuniti dan kawalan keselamatan 24 jam. Lebih menarik, ia berdekatan dengan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, dan pusat beli-belah yang mudah diakses oleh pemilik projek perumahan SASaR..
Anggota tentera tidak seharusnya melepaskan peluang untuk membeli rumah menerusi Projek SASaR kerana kebaikannya tersendiri. Hal ini demikian kerana ia juga merupakan satu langkah bijak daripada MINDEF dalam merancang masa depan dan kestabilan keluarga anggota tentera.
Sebagai contoh, seorang anggota tentera yang berkhidmat selama 10 hingga 20 tahun mungkin menghadapi cabaran untuk memiliki rumah selepas bersara. Namun menerusi projek perumahan SASaR, pemohon bukan sahaja boleh memiliki rumah ketika masih berkhidmat.
Sebaliknya turut berpotensi untuk mempunyai tempat tinggal yang selesa terutamanya selepas sampai waktu untuk bersara.
Bagi Mohamed Khaled, idea pemilikan rumah dalam kalangan anggota tentera wajar disahut kerana dengannya, kebajikan anggota ATM terpelihara.
Komitmen MINDEF Untuk SASaR
Untuk melaksanakan projek perumahan SASaR, MINDEF ltidak menggunakan dana Kerajaan sebaliknya dibiayai Platinum Victory Development Sdn Bhd.
Platinum Victory Development Sdn Bhd bertindak sebagai pemaju dan jika projek perumahan SASaR tidak dijalankan, ramai pihak kekurangan tempat tinggal. Anggota tentera mungkin terpaksa menyewa dengan kos yang tinggi atau tinggal di rumah yang kurang hebat ekonominya untuk menampung seisi keluarga mereka.
Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka, yang pada akhirnya boleh mempengaruhi moral dan keberkesanan dalam menjalankan tugas.
Projek perumahan SASaR adalah langkah penting dalam merealisasikan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Konsep Malaysia MADANI.
Ia bukan sahaja memberi faedah kepada individu tetapi juga menyumbang kepada pembangunan komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.
Dengan pemantauan dan usaha berterusan daripada Mohamed Khaled selaku Menteri Pertahanan serta kerjasama dengan pemaju dan pihak berkuasa tempatan, projek ini mampu mencapai kejayaan dan menjadi model untuk projek perumahan. – Xklusif