Berita

Mangsa bertambah, banjir di Pantai Timur makin buruk

Terengganu, Kemaman dan Dungun menjadi daerah terbaharu yang dilanda bah

KUALA LUMPUR 16 Dis – Banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam tadi selepas beberapa lagi kawasan ditenggelami air dan penduduk terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Terengganu, Kemaman dan Dungun menjadi daerah terbaharu yang dilanda bah, menjadikan jumlah mangsa berpindah seluruh negeri seramai 1,182 orang sehingga jam 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, 21 PPS dibuka di Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Kemaman melibatkan 299 keluarga.

Di Kota Bharu pula, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,366 orang setakat 8 pagi ini, susulan tiga lagi PPS dibuka menjadikan keseluruhan 21 PPS.

Semua mangsa daripada 374 keluarga itu berlindung di PPS di empat daerah iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan, mangsa banjir paling ramai adalah Kuala Krai sejumlah 581 orang daripada 217 keluarga berada di lapan PPS.

Jajahan Tanah Merah pula, seramai 418 orang mangsa daripada 122 keluarga berada di lapan PPS, diikuti Pasir Mas dengan jumlah 346 orang daripada 90 keluarga ditempatkan di empat PPS dan 21 mangsa daripada lima keluarga di satu PPS di Machang.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, Sungai Semerak di Bachok melepasi paras amaran dengan bacaan 8.44 meter (m) berbanding paras normal 6m.

Empat sungai lagi melepasi paras waspada, iaitu Sungai Nal di Kuala Krai (23.6m), Sungai Kusial di Tanah Merah (12.58m), Empangan Bukit Kwong (17.29m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.09m). – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button