Uncategorized

IYRC ASEAN 2025 Himpun 800 Inovator Muda di Johor, Tampil Kolaborasi Serantau dan Bakat Teknologi

Seramai lebih 800 inovator muda dari tujuh negara ASEAN berhimpun di EduCity Iskandar Malaysia bermula 13 hingga 15 Jun sempena Pertandingan Robotik Remaja Antarabangsa (International Youth Robot Competition, IYRC) ASEAN 2025 — sebuah platform yang menghimpunkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dari seluruh rantau secara rentas sempadan.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Ahmad Nazir Mohd. Nasir yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi., yang menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan generasi muda dalam bidang teknologi dan inovasi.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Ahmad Nazir Mohd. Nasir yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

IYRC ASEAN 2025 bukan sekadar pertandingan. Ia merupakan medan mencetuskan imaginasi, memupuk semangat kerjasama dan membentuk masa depan serantau melalui kreativiti dan inovasi. Bertemakan ‘Tenaga Hijau’, pertandingan tahun ini mencabar peserta membangunkan penyelesaian robotik yang menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Para peserta melambangkan generasi ASEAN yang kreatif, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran global dengan tekad menuju masa depan yang lebih mampan.

(Dari kiri) Pengerusi Penganjur IYRC 2025 Philips Tan dan Pengerusi Bersama Penganjur IYRC 2025 Olivia Oii ketika berucap di Majlis Perasmian Pertandingan Robotik Remaja Antarabangsa (IYRC) ASEAN 2025

“IYRC bukan sekadar pertandingan robotik,” kata Olivia Ooi, Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2025. “Ia adalah satu perjalanan penemuan yang menyatukan pendidikan, inovasi, keseronokan, pengembaraan dan pertukaran budaya dalam satu pengalaman bermakna.”

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor, para penaja, pendidik serta ibu bapa atas sokongan berterusan dalam menjayakan program berprestij ini.

“Kita sedang membentuk warganegara global masa hadapan,” tambah Puan Olivia. “Komitmen padu terhadap pembangunan belia dan inovasi menjadi pemangkin utama inisiatif ini.”

IYRC ASEAN 2025 menjadi bukti kesungguhan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan, mempertingkat kesiapsiagaan digital, dan melabur dalam pembangunan generasi pelapis yang berpotensi tinggi.

(Dari kiri) Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid JPNJ Musa Atan, Pengerusi Bersama IYRC 2025 Olivia Oii, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia – Johor Awang Shawal, Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Bin Abdul Rahim, Datuk Bandar Iskandar Puteri Hj Ahmad Nazir Hj Mohd Nasir, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kota Iskandar Datuk Pandak Hj Ahmad, Naib Presiden Kanan Kelestarian & ESG Investment Berhad IIB Diyana Mohd Amin, Setiausaha Politik Timbalan Menteri MITI Alan Tee Boon Tsong, Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan Food Panda Vivasvan Thamboo dan Pengerusi IYRC 2025 Philips Tan.

EduCity Pacu Johor Sebagai Hab Inovasi Serantau

Pertandingan ini berlangsung di EduCity Iskandar Puteri, hab pendidikan dan inovasi utama di selatan tanah air yang mencerminkan komitmen Johor dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi serta menerajui pembangunan teknologi di peringkat serantau.

EduCity merupakan kawasan pembangunan pendidikan seluas 305 ekar yang menempatkan tujuh institusi pengajian tinggi dan empat sekolah antarabangsa termasuk University of Reading Malaysia, Newcastle University Medicine Malaysia, dan Raffles University Iskandar.

Dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf dunia seperti makmal inovasi, kediaman pelajar dan Stadium EduCity berkapasiti 30,000 tempat duduk, hab pendidikan ini menyediakan ekosistem kondusif untuk pembelajaran rentas negara, penyelidikan serta kerjasama akademik dan industri.

Lebih daripada sekadar pentas pertandingan, Johor menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta dan keluarga melalui gabungan pendidikan dan pelancongan. Pelawat digalakkan meneroka keindahan pantai, warisan budaya, ladang agro-teknologi, kepelbagaian kulinari serta suasana pembelajaran pelbagai budaya yang menjadikan IYRC ASEAN 2025 pengalaman holistik luar bilik darjah.

Ketika ASEAN terus berkembang sebagai hab inovasi global, acara ini mengukuhkan lagi iltizam rantau ini terhadap pembangunan belia, kerjasama serantau dan teknologi lestari.

Artikel Berkaitan

Back to top button