Politik

Pecat individu tidak bersependapat cara paling mudah kekal berkuasa – Annuar

KUALA LUMPUR, Jan 28 – Langkah ‘pembersihan’ besar-besaran parti yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam hanya menghasilkan lebih banyak kotoran, kata veteran politik, Tan Sri Annuar Musa.

Ini kerana katanya, punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam UMNO dan menunggang parti itu berasaskan naratif palsu yang direka mereka sendiri.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka. Oleh itu, kepada sahabat yang berjuang dan cuba untuk berkata benar dan memperbaiki parti dari terus rosak, syabas saya ucapkan.

“Walaupun mereka yang berbuat demikian dipecat atau digantung sehingga 6 tahun, tujuan pemecatan dan penggantungan adalah jelas.

“Saya harap semua bertenang dan sabar. Memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Beliau mengulas berkaitan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa nama besar dalam parti keramat Melayu itu.

Seperti dijangkakan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah yang terawal dipecat diikuti bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Manakala, Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama 6 tahun.

Turut menerima nasib sama ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menegaskan bahawa berkata benar itu mahal harganya selain mengingatkan bahawa jika pihak terbabit kini berkuasa, masih ada yang lebih tinggi kuasanya.

Apa yang penting jelasnya, mereka (yang dipecat dan digantung) agar kekal berprinsip, berani berkata benar dan sentiasa berjuang demi asas dan matlamat perjuangan yang betul iaitu demi Islam, bangsa dan tanah air.

Tambahnya, rakyat telah beri isyarat namun pimpinan UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih ‘in denial’ malah lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi serta orang lain kecuali diri mereka sendiri.

“Mereka cipta penipuan dan akhirnya mereka sendiri percaya dengan penipuan tersebut, dan sesiapa yang cuba berkata benar, itu semua akan digelar pengkhianat.

“Mereka mahu semua orang berwirid dengan naratif palsu mereka. Jadi biarkanlah mereka dalam dunia mereka itu. Rakyat sudah pun meninggalkan mereka, malah tiba masanya ahli akan turut meninggalkan UMNO beramai ramai,” katanya.

Annuar turut menyindir agar UMNO diberikan kepada mereka untuk dijadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad mereka.

Pada Disember lalu, Annuar turut menjadi mangsa ‘pembersihan’ UMNO apabila dipecat daripada parti itu kerana dipercayai lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan

Back to top button