Pengganti Idris nanti mungkin ‘penjilat’ Zahid – KJ

KUALA LUMPUR 22 Jun – Bekas Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meramalkan pengganti Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu mungkin daripada kalangan ahli politik atau ‘penjilat’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Khairy dalam satu hantaran menerusi IG Storynya hari ini meramalkan perkara berkenaan sebagai reaksi pengunduran Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Idris Jusoh daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa 30 Jun ini.
Khairy turut memuji kredibiliti Idris yang disifatkan seorang yang baik dan sentiasa terbuka kepada idea baru.
“Saya sudah mengenali Idris lebih dari dua dekad. Kami rakan kerja semasa di kabinet.
“Beliau adalah orang yang bagus dan terbuka kepada idea baru. Ada yang berpendapat pengunduran beliau untuk memberi laluan kepada individu yang baru dan lebih muda,” katanya.
Katanya lagi, ini adalah peluang kerajaan untuk membuktikan isu berkaitan pelantinkan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini adalah peluang untuk kerajaan membuktikan mengenai pelantikan GLC. Mari kita bertaruh. Saya yakin pengerusi baru adalah lantikan politik. Mungkin Zahid ‘bootlicker’ dari UNMO,” katanya.
Idris semalam mengumumkan pengundurannya daripada jawatan Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun ini.
Menerusi laman Facebooknya, bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu menjelaskan, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.
Idris dalam kenyataannya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peluang kepadanya menjawat jawatan berkenaan.
Penghargaan juga ditujukan kepada warga peneroka, petugas Felda sepanjang perkhidmatannya.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi itu, berkuat kuasa 1 Mei 2020.
Bagaimanapun, pengganti beliau bagi jawatan Pengerusi Felda masih belum diumumkan.