Berita

PM kutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dalam serangan Israel terhadap pemimpin Palestin itu, semalam.

Anwar berkata, pembunuhan itu ternyata sangat tragis dan kejam yang jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman Zionis di Gaza yang sudah meragut lebih 40,000 nyawa.

Menurutnya, pembunuhan besar-besaran itu hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.

“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam Almarhum untuk sebuah (negara) Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan,” katanya menerusi hantaran video Facebook, semalam.

Katanya, beliau amat berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan

Back to top button