JPN nafi beri MyKad pada warga Hong Kong, China
JPN berkata perkara itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarahnya, Zamri Misma menegaskan, perkara tersebut tidak benar dan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Sebenarnya kad pengenalan diri ada pelbagai di Malaysia, pertama MyKad macam yang kebanyakan kita ada untuk warganegara.
“Kita juga ada dalam bentuk kad penduduk tetap (PR) atau kita panggil kad pengenalan merah. Jangan silap faham benda berkenaan, kadang-kadang yang kita bagi itu ialah kad PR,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara Peringkat Kebangsaan di Masjid Darul Murthada di Kampung Telok, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Murthada Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.
Zamri memberi jaminan bahawa JPN akan memastikan integriti setiap dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan sentiasa dijaga.
“Kita jamin sebab ini membabitkan dokumen keselamatan negara yang bukan perkara main-main, kita serius mengenai perkara ini,” katanya lagi.
Pada 23 September lalu, media melaporkan mesej palsu mengaitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung isu pemberian MyKad kepada warga asing yang tular di media sosial.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi Pulau Pinang kemudian mengambil maklum penyebaran mesej itu dan menyifatkannya sebagai isu kitar semula. — Xklusif