Politik

PRN: Amirudin mahu terus terajui Selangor

KUALA LUMPUR 11 Julai – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan untuk terus menerajui kepimpinan kerajaan negeri jika gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi PH Selangor itu berkata, beliau cenderung untuk terus menjawat jawatan berkenaan bagi membantu kerajaan negeri melengkapkan pelaksanaan pelbagai pelan pembangunan yang telah dirangka bagi kelestarian ekonomi dan kesejahteraan rakyat Selangor.

“Walaupun pelan itu adalah kerja berpasukan, saya percaya saya juga bertanggungjawab untuk melunaskan dan melengkapkan pelaksanaan pelan yang telah ditawarkan kepada rakyat terutamanya dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Hasrat ini juga seiring dengan komitmen saya untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang saya sandang ketika ini pada PRN akan datang,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, hasrat tersebut sekali gus menafikan khabar angin bahawa terdapat perancangan untuk menukar kedudukannya sebagai Menteri Besar kepada Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan selepas PRN.

Menurut Amirudin, secara umumnya kepimpinan PH di peringkat negeri sepakat dan bersetuju untuk beliau terus mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar.

“Cakap-cakap di luar sana banyaklah… ada yang kata saya akan ke Persekutuan, tukar dari Menteri Besar kepada Menteri Kabinet tetapi sebagaimana saya, PH Selangor juga cenderung dan sepakat untuk saya kekal sebagai Menteri Besar.

“Setakat ini perbincangan dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tiada perancangan untuk saya bertukar atau sebagainya,” katanya dan menambah sebagai ahli parti beliau akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan di peringkat pusat. – Sinar Harian 

Artikel Berkaitan

Back to top button