
Penjawat awam negeri Pulau Pinang akan menerima bantuan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.
Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pengurusan dan guru sekolah agama Islam, serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang, akan menerima RM300.
Beliau berkata, seramai 7,066 penjawat awam di Pulau Pinang dijangka menerima bantuan tersebut.
“Bantuan ini akan disalurkan mulai 19 Mac dan dianggarkan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.81 juta oleh kerajaan negeri,” katanya.
“Bantuan ini juga akan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, dan anak syarikat kerajaan negeri.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu berkata, bantuan ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam atas komitmen mereka dalam merealisasikan visi Pulau Pinang 2030, yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup.