Politik

Sanusi didakwa kerana PRN sudah hampir – Awang Hashim

Pas menyerahkan kepada proses undang-undang yang pernah dihadapi parti itu sejak dahulu.

KUALA LUMPUR 18 Julai MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke mahkamah disebabkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sudah semakin hampir.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, Pas menyerahkan kepada proses undang-undang yang pernah dihadapi parti itu sejak dahulu.

Pada masa sama, beliau berkata, pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi itu bukan disebabkan soal ‘kawal mulut’.

Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menjadi Perdana Menteri juga pernah membuat perkara sama.

“Kita serah kepada proses undang-undang. Tidak ada masalah. Cuma, kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang kita tengah hadapi PRN enam negeri ini, yang jadi klimaks.

“Kita tengok sekarang di Kedah, punca kepada ini (Sanusi didakwa) disebabkan oleh PRN. Bab jejas (sokongan kepada PN) atau tidak, kita tidak mahu komen, kita serah kepada proses undang-undang.

“Ini bukan masalah kawal mulut atau apa. Tidak ada apa. Apabila kita bertemu dalam pentas politik, selesai cara politik. Ini biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang mendakwa apa yang berlaku hanya proses undang-undang disebabkan ada tekanan terhadap Muhammad Sanusi.

“Dia (Muhammad Sanusi) sudah minta maaf. Tetapi apabila ada tekanan… Menteri Undang-Undang boleh buat kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Dalam Negeri buat kerja Menteri Undang-undang. Semua ini hanya proses.

“Kalau kita tengok dahulu pun, PMX (Anwar) pernah ditarik balik pingat dia,” ujarnya.

Bagaimanapun, Awang berharap apa yang berlaku dijadikan pengajaran bukan kepada Muhammad Sanusi sahaja tetapi juga orang lain. — Awani

Artikel Berkaitan

Back to top button