Selagi ada pemimpin macam Nazri, bukan Melayu tidak akan sokong UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pengundi bukan Melayu tidak akan menyokong calon UMNO selagi ada pemimpin seperti bekas ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang suka mengapikan isu perkauman.
Ini berikutan kenyataan bekas Menteri itu yang mengatakan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu berkerjasama dengan DAP jika ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya negeri Sabtu ini.
Beliau juga berkata adalah lebih penting untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan DAP dan bukannya MIC atau MCA, kerana kedua-dua parti tersebut telah hilang sokongan pengundi bukan Melayu.
Sumber dalaman MIC berkata parti tersebut terkilan dengan kenyataan Nazri, yang disiarkan sebuah portal berita hari ini, yang mengatakan bahawa DAP adalah parti yang mewakili bukan Melayu di negara ini, dan bukannya MCA dan MIC.
“Selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi ke ibu pejabat MIC minggu lalu, ahli-ahli MIC memang bertekad untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Walaupun mereka tidak selesa dengan keadaan ini tetapi mereka mengikut telunjuk pucuk pimpinan MIC dan setuju kita menyokong PH.
“Tetapi ada pulak pemimpin UMNO yang secara terang mengatakan MIC dan MCA tidak penting. Jadi kenapa perlu kita bekerja untuk memastikan kemenangan calon dari UMNO.
“Jika UMNO tidak menghormati kita, buat apa kita nak kerja untuk kemenangan mereka. Macam kata presiden (MIC) kita ada maruh,” kata seorang pemimpin MIC ketika dihubungi XKlusif.
Beliau berkata, ahli MIC sekarang akan hanya bekerja untuk meraih sokongan kepada calon PH dan bukannya UMNO pada pilihan raya negeri yang bakal menjelang.
“Ini kita buat sebagai satu pengajaran kepada Nazri. Dia buka mulut, bukan dia yang kalah. Ahli dan pemimpin parti dia yang akan kalah. Kalau dia fikir MIC dan MCA tidak diperlukan, tak apa lah. Kita tengok keputusan nanti.
“Jangan salahkan MIC kalau UMNO kecundang kerana ia adalah kerana mulut pemimpin Umno macam Nazri,” katanya lagi.
Beliau juga berkata tinjauan MIC ke beberapa negeri telah mendapati bahawa pengundi, terutamanya pengundi India, telah mula menerima MIC.
“Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Saravanan telah melawat Pulau Pinang dan beliau disambut baik. Malahan ada ahli DAP yang menjemput beliau untuk berkempen untuk PH-BN di beberapa DUN.
“MIC mempunyai rangkaian yang terbaik untuk meraihkan undi kaum India. Parti ini mempunyai kekuatannya sendiri dan itu tidak boleh dinafikan.
“Jika Nazri ingin berkempen untuk DAP, dipersilakan. Ini jemputan untuk berkempen pun dia tak dapat. Dia hanya sekadar menumpang. Berkempen untuk pemimpin UMNO sendiri dia tak dijemput….ini dia nak komen pasal MIC dan MCA,” kata sumber itu.
UMNO, BN mencipta sejarah apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi DAP bagi membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum ke-15.
Kerjasama itu terbentuk selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15.
BN yang memenangi jumlah kerusi paling sedikit dalam sejarah politiknya pada PRU15 lalu membuat keputusan untuk bersama PH, GPS, GRS dan gabungan parti politik lain untuk menubuhkan kerajaan pusat.
Pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang sedang berlangsung ketika ini juga merupakan satu detik sejarah apabila BN, PH bertanding sebagai satu gabungan. — Xklusif