SELBIZ 2024 sasar RM2 juta perolehan

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM2 juta melalui penglibatan 200 usahawan termasuk pempamer sepanjang tiga hari Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ 2024), bermula 4 hingga 6 Oktober yang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam, di sini.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, SELBIZ semakin ‘berkembang’ apabila pelbagai pengisian menarik khas buat usahawan dan seisi keluarga dibawakan tahun ini, sekali gus menjadikannya bukan sahaja pentas buat usahawan memperkenalkan produk mereka, malah ruang buat orang ramai membeli-belah dan meluangkan masa bersama keluarga pada cuti hujung minggu.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin bin Shari hadir merasmikan SELBIZ 2024 diiringi Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan bin Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Haji Suhaimi bin Haji Kasdon.
Haji Suhaimi berkata, SELBIZ merupakan inisiatif PKNS bertujuan membantu usahawan di Selangor untuk meluaskan jaringan perniagaan, mencari peluang perniagaan baharu, mempromosikan produk keluaran masing-masing dan ingin menambah pengetahuan dalam industri keusahawanan.
“Platform ini menawarkan peluang yang komprehensif kepada usahawan, sama ada yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan. Menerusi ekspo ini, PKNS menyediakan platform promosi yang berpusat dan menyeluruh, membolehkan usahawan terlibat memperkenalkan serta memasarkan produk atau perkhidmatan syarikat mereka dengan lebih berkesan.
“Kita juga mahu menggalakkan aktiviti jualan dan promosi produk serta perkhidmatan di samping membantu meningkatkan pendapatan jualan para usahawan melalui ekspo yang dianjurkan,” katanya kepada media selepas pelancaran SELBIZ 2024.
Tahun ini, sebanyak 200 reruai jualan dari pelbagai industri termasuk pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan dibuka, di mana ia menawarkan platform terbaik bagi para usahawan untuk mempromosikan produk dan perniagaan mereka kepada orang ramai di bawah satu bumbung, sambil meluaskan rangkaian perniagaan sama ada melalui kaedah perniagaan kepada pelanggan (B2C) atau perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Selain itu, PKNS turut menyediakan segmen pemadanan perniagaan bagi pasaran domestik, eksport dan juga agensi pembiayaan dimana SELBIZ 2024 telah membawakan agensi-agensi seperti Amanah Saham Nasional Berhad, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Maybank, Agro Bank, Affin Bank, MARA, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), TEKUN Nasional, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan beberapa bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan informasi berkaitan pinjaman dan keusahawanan.
Bagi merancakkan lagi suasana dan menarik lebih ramai pengunjung, PKNS melengkapkan pengisian ekspo dengan pelbagai acara yang dibahagikan kepada beberapa segmen dan aktiviti seperti Konsert Gempak@SELBIZ yang menampilkan artis popular, Pesta Rasa, Hari Sukan SELBIZ, SELBIZ Ceria, zon kanak-kanak, Selawat@SELBIZ, Segmen Interaktif, kaunter pemeriksaan kesihatan Selcare, Sembang Niaga, Padanan Perniagaan, Klinik Usahawan Selangor, SELBIZ Obstacle Run 2024, kaunter Jualan Ehsan Rahmah (JER) & kaunter perkhidmatan bergerak dan banyak lagi.
Haji Suhaimi optimis bahawa dengan pelbagai pengisian menarik pada edisi SELBIZ kali ini, ekspo dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam ini berpotensi menarik lebih daripada 20,000 pengunjung.
SELBIZ merupakan salah satu inisiatif tambahan daripada pelbagai program anjuran PKNS untuk menyokong dan memartabatkan para usahawan di negeri ini. Ia sejajar dengan keyakinan PKNS bahawa usahawan tempatan mempunyai potensi besar untuk memperkukuhkan taraf sosioekonomi negara.