Amerika Syarikat telah mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia bermula 1 Ogos, satu kadar yang digambarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, sebagai “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.
Kadar itu juga lebih tinggi daripada 24% yang pada asalnya dikenakan ke atas beberapa eksport Malaysia ke AS, yang kemudiannya digantung selama 90 hari dan berakhir hari ini.
Dalam satu surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dimuat naik di platform Truth Social milik Trump, beliau berkata dasar perdagangan semasa Malaysia telah menyebabkan hubungan perdagangan dengan AS menjadi berat sebelah dan tidak saling menguntungkan.
Beliau juga berkata bahawa beliau bersedia untuk menurunkan tarif 25% itu sekiranya Malaysia mengubah dasar perdagangannya.
Trump berkata tarif tersebut akan dikenakan secara berasingan daripada sebarang tarif khusus sektor yang telah pun dikuatkuasakan, dan sebarang cubaan untuk mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelakkan tarif lebih tinggi akan dikenakan penalti melalui pelaksanaan kadar tarif yang lebih tinggi.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang keputusan oleh Malaysia untuk menaikkan tarif ke atas barangan AS akan menyebabkan tambahan tarif sebanyak 25% dikenakan sebagai tindak balas.
“Sila fahami bahawa tarif ini adalah perlu untuk membetulkan dasar tarif dan bukan tarif serta halangan perdagangan oleh Malaysia selama bertahun-tahun, yang telah menyebabkan defisit perdagangan yang tidak mampan terhadap AS,” katanya.
Dalam suratnya, Trump turut menekankan komitmen berterusan Amerika Syarikat terhadap hubungan perdagangannya dengan Malaysia, walaupun terdapat defisit perdagangan yang besar dengan negara ini.
Trump turut menggalakkan penyertaan yang lebih besar oleh Malaysia dalam ekonomi Amerika, yang digambarkannya sebagai “pasaran nombor satu” di dunia.
“Seperti yang anda maklum, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat-syarikat dalam negara anda, memutuskan untuk membina atau mengeluarkan produk di dalam AS,” katanya.
“Malah, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mendapatkan kelulusan dengan cepat, profesional dan secara rutin – dalam erti kata lain, dalam tempoh beberapa minggu,” katanya.
Trump turut mengeluarkan surat yang serupa kepada beberapa negara lain, termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan.