Empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal kini dalam jagaan baik
Empat beradik itu sudah pun di bawa ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR 25 Nov – Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan yang dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah (MDPT), Seri Iskandar, Perak semalam sudah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata mereka dibawa ke hospital oleh pegawai kementeriannya.
“Setelah dibawa ke hospital, pihak kementerian masih perlu mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk membawa kesemua kanak-kanak itu ke institusi di bawah kementerian. Mereka kini dalam jagaan baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang berkongsikan maklumat sekali gus membolehkan kementeriannya bertindak segera terhadap kes berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan empat beradik yang terdiri daripada dua lelaki berusia 11 dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditemukan ditinggalkan di kompleks berkenaan. – Bernama