Berita

PMX, Pemimpin PN kecam insiden serang anak Rafizi

Kelmarin, negara dikejutkan dengan kejadian anak bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli diserang dua lelaki tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dikatakan diheret dan dicucuk dengan jarum suntikan oleh lelaki terbabit yang menunggang sebuah motosikal dalam kejadian kira-kira jam 2 petang.

Insiden itu berlaku ketika kanak-kanak itu bersama keluarganya hendak masuk ke kereta, sebelum dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar, menutup muka menyerangnya.

Polis Selangor kemudian mengesahkan kejadian itu berlaku di kawasan tempat letak kereta dan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Polis sedang meneliti rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif serta pelaku.

Sementara itu, Rafizi ketika mengesahkan kejadian yang berlaku ke atas anaknya menyatakan, ia seperti dirancang dan pada masa sama menzahirkan kebimbangan terhadap apa yang terjadi.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menegaskan, siasatan akan dijalankan secara adil dan telus tanpa mengira status individu yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ketinggalan memberi maklum balas mengecam tindakan keji dan mengarahkan agar siasatan dilaksanakan dengan segera serta menyeluruh.

Pemimpin dari Perikatan Nasional (PN juga mengutuk kejadian itu yang melibatkan kanak-kanak.

PN menganggap tindakan tersebut jenayah keji dan mendesak agar pelaku dihadapkan ke muka pengadilan serta siasatan dijalankan secara telus.

Insiden ini sangat membimbangkan kerana melibatkan keselamatan seorang kanak-kanak dan mencetuskan pelbagai reaksi serius dari pihak kerajaan dan politik.

Artikel Berkaitan

Back to top button