(VIDEO) Azmin lepas DUN Bukit Antarabangsa, jumpa Juwairiya di Hulu Kelang
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bakal bertembung dengan Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

KUALA LUMPUR 27 Julai – Biarpun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menyatakan hasrat tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), namun beliau diumum sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bakal bertembung dengan Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR sebelum ini merupakan penyandang bagi DUN Bukit Antarabangsa selepas memenangi kerusi tersebut dengan tiket PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
View this post on Instagram
Penghijrahan bekas Menteri Besar Selangor itu ke Hulu Kelang menyebabkan PN mempertaruh Shasha Lyna Abdul Latiff bagi mengekalkan kerusi tersebut menjadi milik mereka bagi PRN kali ini.
Pengumuman mengenai pencalonan itu dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini malam ini.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR menang dengan majoriti 15,349 (Saari Sungib) di DUN Hulu Kelang.
Azmin bagaimanapun menafikan tohmahan bahawa beliau ‘melarikan diri’ daripada mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa.
Sebaliknya, Azmin menegaskan DUN Hulu Kelang merupakan kerusi pertama yang pernah disandang oleh beliau sebelum ini.
“Saya nak tegaskan Hulu Kelang merupakan kerusi pertama yang saya dapat mandat rakyat sejak 1999. Ketika saya menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal, mulai 2008, Hulu Kelang ada sebahagian daripada Parlimen Gombak.
“Jadi tidak timbul saya lari dari satu kawasan yang lain, sebab sebagai pemimpin kita harus bersedia memberi khidmat di mana jua yang diperlukan oleh rakyat,” katanya. – Xklusif