Tak mustahil PAS, DAP bergabung dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR 9 Mei – Parti PAS dan DAP dilihat mempunyai kemungkinan untuk bergabung dan mewujudkan satu gabungan politik baharu dalam masa terdekat.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, PAS dan DAP sebelum ini juga pernah menjadi rakan seperjuangan di bawah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
“Buat masa sekarang, mungkin PAS banyak mengkritik DAP tetapi dalam masa dua tahun, mereka akan mengatakan bahawa DAP adalah rakan seperjuangan,” katanya.
Untuk rekod, PAS buat masa ini berada di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) manakala DAP pula bersama dengan Pakatan Harapan (PH).
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, PAS juga tidak dapat mengkritik gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.
Jelasnya, ini kerana PAS sendiri pernah bekerjsama dengan UMN0 selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menerusi gabungan Muafakat Nasional.
Menurutnya lagi, PAS juga dilihat akan sentiasa bersedia mengubah pendiriannya terhadap apa juga gabungan politik semata-mata mahu menguatkan kedudukan mereka.
Perkara tersebut katanya terbukti selepas pemimpin PAS sendiri menyokong Proklamasi Melayu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti baru-baru ini menandatangani dokumen itu untuk menandakan sokongan mereka terhadap gesaan Mahathir agar orang Melayu bersatu demi menyelamatkan kaum tersebut. — FMT