Zahid perlu dahulukan BN, bukan DAP – MCA

KUALA LUMPUR 22 Mei – MCA menyelar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung seruannya kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam mana-mana pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menyifatkan, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan BN hanya mementingkan pihak lain ketika ini.
“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan PH.
“Perlu diingatkan bahawa sebagai Pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP,” katanya dalam kenyataan.
Sebaliknya, kata beliau, kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak.
“Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh parti MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA sendiri, bukannya pihak lain,” katanya.