Berita
Dulu buat demonstrasi tak fikir impak ekonomi ke?
Demonstrasi paling banyak dilakukan sewaktu pemerintahan Najib.

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Cadangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan gencatan politik (demonstrasi) untuk mengelak sebarang impak terhadap ekonomi nampaknya memakan diri sendiri.
Seorang penganalisis politik, Lim Sian See berkata, PH pada waktu pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beberapa kali melakukan demonstrasi termasuk secara besar-besaran.
“Dulu korang buat demonstrasi BERSIH 1.0, 2.0, 3.0, 4.0, 5.0, 6.0, anti-GST, selamatkan Malaysia, demonstrasi turunkan harga minyak, demonstrasi Blackout 505, anti-Lynas, anti-lombong emas Raub, mansuh SOSMA, mansuh akta hasutan dan sebagainya masa Najib.
“Korang sekali tak fikir pun impak pada ekonomi dan negara. Tiap-tiap tahun buat beberapa kali sepanjang tempoh sembilan tahun Najib jadi PM. Ada je sebab atau alasan untuk buat.
“Masa itu korang tak fikir impak?” soalnya.
Terdahulu, seorang Ahli Parlimen PH, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) mencadangkan pemimpin politik melaksanakan gencatan politik hingga pilihan raya umum akan datang demi kestabilan ekonomi negara dan perpaduan masyarakat.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) berkata perhimpunan politik besar-besaran atau demonstrasi akan menjejaskan kemasukan pelaburan di negara ini seterusnya menyebabkan kegagalan bagi mencapai status negara maju.
“Pelabur amat sensitif dengan situasi politik domestik, sejumlah RM1.23 trilion pelaburan akan lari jika kita terus berbalah, jadi saya mohon supaya Bachok dan kawan-kawan di sebelah sana (pembangkang) tak payahlah buat apa-apa demonstrasi, ini akan menakutkan pelabur,” katanya. — Xklusif