Politik

MIC parti politik, bukan pertubuhan kasta – Vigneswaran

Vigneswaran merujuk kepada seorang pengerusi pertubuhan kasta yang dikatakan sedang mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan bekas pemimpin MIC dan pemimpin dari parti politik yang lain dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik baru pro-Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR 23 Sept – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata parti itu sedia menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik yang memperjuangkan isu berkaitan kaum India, kecuali yang berasaskan kasta.

Dia berkata demikian selepas menghadiri sidang media berkenaan kerjasama antara MIC dan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur, semalam.

“Secara peribadi saya tak menjemput sesiapa selain Makkal Sakthi (untuk bekerjasama). Sesiapa (parti politik India) sahaja boleh menyertai sekretariat ini. Itu bukan masalah, kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi kepentingan masyarakat India.

“Kami parti politik, bukan pertubuhan kasta, selagi mereka parti politik kami tidak ada masalah untuk bekerjasama. Tapi, kami tak akan kerjasama dengan pertubuhan kasta.

“Masyarakat India adalah minoriti di negara ini. Jika masih ada pihak yang ingin memecah belahkan kita atas nama kasta, kita (MIC) tidak boleh menerima mereka,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden MMSP, RS Thanenthiran dan timbalan presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

Walaupun tidak menyebut nama, difahamkan Vigneswaran merujuk kepada seorang pengerusi pertubuhan kasta yang dikatakan sedang mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan bekas pemimpin MIC dan pemimpin dari parti politik yang lain dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik baru pro-Pakatan Harapan.

“Apa yang disarankan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) harus bermula di sini (kerjasama MIC dan Makkal Sakti).

“Kami sebagai pemimpin telah melihat perpecahan kaum dan ini akan merugikan pembangunan negara,” kata Vigneswaran. – Malaysiakini

Artikel Berkaitan

Back to top button