Naik SST ke 8% langkah kurang tepat – Ismail Sabri
Ismail Sabri berkata perkara itu akan memberi kesan kepada peniaga yang tidak mampu menyerap kenaikan cukai.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Cadangan kerajaan untuk menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus pada tahun hadapan dilihat sebagai satu langkah yang kurang tepat.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, meskipun kenaikan tidak melibatkan makanan dan minuman, harus difahami ia akan memberi kesan berantai termasuk mendorong peningkatan kos kepada barang-barang asas.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, hal ini memberi kesan kepada peniaga yang tidak akan mampu menyerap impak daripada kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.
“Kenaikan cukai SST sebanyak dua peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.
“Malah, firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.
“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?,” soalnya dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru, beliau sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST. Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai,” katanya lagi.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang menaikkan kadar SST kepada lapan peratus berbanding sebelum ini.
Katanya, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.
Katanya lagi, kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke. — Xklusif