Berita

Ada yang sengaja nak cemarkan nama saya – Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR 11 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan nama beliau dalam pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan.

Sambil memaklumkan beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM petang ini bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam, Hamzah menyifatkan apa yang dilakukan bertujuan memburukkan nama beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung. Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)”.

“Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?. Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya,” kata bekas menteri KDN itu dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN mendakwa, tindakan mengaitkan namanya juga siri fitnah untuk menekan orang-orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadapnya demi mencemarkan nama beliau.

Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Saya percaya, ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu,” tambahnya.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada KDN.

Choo didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pihak pendakwaan berkata, jumlah itu bertujuan sebagai dorongan kepada Hamzah untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button