Berita

AS secara terang-terangan sokong pengganas – Tun M

Tun M berkata, kekejaman Israel terhadap Palestin berpunca daripada sokongan AS.

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kekejaman yang dilakukan oleh negara tidak diiktiraf, Israel terhadap rakyat Palestin berpunca daripada sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Tel Aviv.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, sekiranya AS menarik balik sokongan dan menghentikan bantuan ketenteraan, rejim Zionis tidak akan berani melakukan pembunuhan besar-besaran.

Justeru, beliau mahu negara kuasa besar dunia itu bertanggungjawab dan mengakui kesilapan yang sedang dilakukan sehingga membawa kebinasaan kepada rakyat tidak bersalah.

“Kerajaan Amerika Syarikat perlu tampil dan bercakap benar. Israel dan pasukan IDF-nya adalah pengganas.

“Amerika Syarikat terang-terangan menyokong pengganas. Jadi, Amerika Syarikat ini negara apa?,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Selain itu, Dr Mahathir menyifatkan, dakwaan Presiden Joe Biden bahawa pengeboman hospital di Gaza berpunca dari roket milik pejuang Palestin yang tersasar adalah kenyataan karut dan tidak masuk akal.

Ujarnya, tidak perlu ada rasa sangsi sama sekali bahawa pengeboman Hospital Ahli Arab ialah dari serangan udara Israel yang hendak melenyapkan rakyat Palestin dan Gaza dari muka bumi.

“Naratif Biden hanya bersandar kepada maklumat dari Netanyahu dan Pentagon. Netanyahu sudah pasti berbohong.

“Dan kalau Biden mempercayai Pentagon, dunia masih belum lupa bagaimana Pentagon dan institusi Amerika yang lain berbohong mengenai kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di Iraq.

“Malahan baru-baru ini, Biden terbukti membohong apabila mendakwa menyaksikan gambar Hamas menyembelih bayi.

“White House sudah menarik balik kenyataan tersebut dan mengakui tidak ada bukti perbuatan sedemikian. Persoalannya bagaimana Biden boleh berbohong sebegitu rupa tanpa sedikit pun rasa malu,” katanya lagi. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button