Politik

Azmin akui tak pernah lompat parti, Anwar yang pecat dirinya

Azmin juga menganggap dirinya ditikam oleh Anwar.

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pertahankan dirinya bukan pengkhianat dalam PKR.

Malah, menurut Azmin itu, beliau ‘ditikam’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipecat dari parti itu.

“Saya dilantik oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad), bukan Anwar. Sekali lagi, ini bukti yang menunjukkan dia tidak mahu saya lebih berjaya daripada dia.

“Dia tikam belakang saya. Dia pecat saya. Saya tidak pernah lompat parti. Ini rekod yang saya nak pertahankan. Tidak benar kalau ada laporan (yang berbunyi) ‘semenjak Azmin meninggalkan Keadilan’.

Azmin
Azmin Ali sewaktu bersama dengan Anwar di dalam PKR satu ketika dahulu. – The Star

“Apa sebab saya tinggalkan parti, walhal dua pertiga kumpulan saya menang dalam pemilihan parti? Tetapi, oleh kerana Keadilan cukup tidak demokratik, tidak boleh menegur Presiden, maka kami dipecat,” jelas Azmin.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dilontarkan Shahril Hamdan berkenaan ‘ketidakpercayaan’ Anwar terhadapnya, menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada malam tadi.

Jelas Mohamed Azmin, beliau dinafikan dalam banyak perkara, termasuk ketika Pakatan Harapan (PH) berjaya mentadbir Kerajaan Persekutuan pada 2018.

Ujarnya, beliau tidak pernah disenaraikan untuk menyandang apa-apa jawatan walhal sebelum ini beliau merupakan timbalan presiden parti dan ahli paling lama dalam parti.

Untuk rekod, pada Februari 2020, Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan Azmin dipecat sebagai anggota parti.

Keputusan tersebut dilaporkan dibuat susulan tindakan Azmin yang ketika itu disifatkan sebagai ‘satu pengkhianatan terbuka’ dan mampu menjejaskan kestabilan PH. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button